Tuesday, January 19, 2010

TUAN GURU HAJI YAHYA BUN JUNID

KETIKA PAS ditubuhkan pada 1951, salah seorang ulama yang aktif dalam Umno kerana memperjuangkan kemerdekaan ialah Tuan Guru Yahya bin Junid atau lebih dikenali sebagai Pak Ya Junid. Sejak selepas Perang Dunia Kedua, Pak Ya telah aktif dalam gerakan menentang penjajah, kemudian mengasaskan Persatuan Ulama Kedah (PUK) pada 1946.Ketika itu, beliau telah menyertai Kesatuan Melayu Kedah (KMK) dan beberapa kali mewakili persatuan ini ke Kongres Kebangsaan Melayu yang akhirnya membawa kepada penubuhan Umno pada 11 Mei 1946. Kerana KMK menyertai Umno, maka Pak Ya turut menjadi ahli Umno yang aktif ketika itu. Walau bagaimanapun, setelah tertubuhnya PAS, berakhirlah riwayat perjuangan beliau bersama Umno.Pak Ya dilahirkan di Kampung Selengkoh, Yan, Kedah pada 1911 (1330 Hijrah). Beliau mempunyai latar belakang pendidikan yang menarik kerana sempat berguru dengan ramai ulama besar yang terkenal. Selepas tamat belajar al-Quran dengan ibunya, Chik binti Sulaiman yang berasal dari Tumpat, Kelantan, Pak Ya terus dihantar ke Sekolah Melayu Titi Gajah selama dua tahun.Tidak berpuas hati dengan ilmu keduniaan, Pak Ya memasuki Pondok Chegar, Gajah Mati dan berguru dengan Tuan Guru Ahmad Rabat pada 1924. Beliau kemudian berpindah ke beberapa pondok seperti Pondok Tandop (Tuan Guru Abdul Ghani Awang), Pondok Titi Gajah (Tuan Guru Haji Endut) dan akhirnya ke Pondok Khairiyah, Pokok Sena, Seberang Perai. Di pondok ini, beliau mendapat sentuhan Tuan Hussein Kedah, ulamak Banjar yang terkenal itu.

Pada 1931, kerana mendengar kemasyhuran ulama Kelantan, Tok Kenali, Pak Ya mengambil keputusan berhijrah ke Serambi Makkah dan sempat berguru dengan Tok Kenali selama dua tahun di Pondok Masjid Muhammadi. Antara guru beliau di sini ialah Tuan Guru Saad Kangkong, Tuan Guru Ali Pulau Pisang dan Tuan Guru Yaakub Legor.

bermulazamah

Selepas kematian Tok Kenali pada 1933, beliau memasuki Madrasah Ahmadiah atau Pondok Bunut Payung dan sempat berguru pula dengan Tuan Guru Abdullah Tahir dan Tuan Guru Mokhtar Ahmad. Selain memondok di Bunut Payung, Pak Ya juga mengambil kesempatan untuk bermulazamah dengan beberapa ulama besar seperti Mufti Ahmad Maher, Mufti Mohd Nor Ibrahim dan Tuan Guru Yaakub Gajah Mati.

Hampir enam tahun di Kota Bharu, pada 1936, Pak Ya telah kembali ke Kedah sebagai seorang ulamak muda, tetapi beliau tidak membuka pondok, melainkan mengadakah kuliah maghrib di surau sahaja. Beberapa tahun kemudian, gurunya, Tuan Guru Yaakub Legor menggalakkan beliau mengajar di pondok, lalu beliau menjadi guru di Pondok Haji Majid Guar Chempedak mulai 1939.

Pada 1941, beliau merancang untuk membuka pondok sendiri. Tapak bekas Pondok Tuan Hussein Kedah di Batu 16, Padang Lumat, Yan telah dipilih untuk dibangunkan semula dengan modal RM115 ketika itu. Dengan dibantu oleh tiga guru, Madrasah Khairiah Taufiqiah dibangunkan. Sehingga hari ini, madrasah ini terus memberi khidmat menyambung perjuangan Tuan Hussein Kedah.

Pak Ya sendiri yang menjadi mudir madrasah ini semenjak ia ditubuhkan sehingga akhir hayatnya. Sepanjang sejarah madrasah ini, ia pernah diberikan bantuan zakat oleh kerajaan pada 1975 ketika PAS berada dalam BN. Ketika itu juga, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Shah telah berangkat merasmikan bangunan baru madrasah ini. Semenjak itu, ia dikenali sebagai Madrasah Khairiyah Taufiqiyah al-Halimiyah.

Pada 1989, madrasah ini pernah dilanda bencana kebakaran besar yang meragut nyawa 27 pelajar dan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Penyiasat SAR yang dipengerusikan oleh Tan Sri Murad Mohd Nor. Suruhanjaya ini mengesyorkan supaya kerajaan memberikan bantuan kepada SAR untuk meningkatkan infrastrukturnya.

Selain memberikan sumbangan yang begitu besar dalam dunia pendidikan Islam di negara ini, Pak Ya sebenarnya amat terkenal kerana kegiatan politiknya. Bermula sebagai pimpinan KMK pada 1946, beliau mengasaskan PUK bersama Haji Abdullah Abbas Nasution. Perkembangan ini sebenarnya dipengaruhi oleh kegiatan dua gurunya di Madrasah Ahmadiyah Bunut Payung yang mengasaskan Jabhah a-Diiniyah al-Islamiyah Kelantan untuk menyatukan para ulama negeri Tok Kenali itu. Melalui PUK, mereka dapat menyatukan ulama di Kedah pula. Pada 1946 juga, Pak Ya menjadi ahli Umno tetapi tidak giat dalam Bahagian Agama Umno kerana badan itu tidak cergas berbanding Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada 1948.

Bahagian Agama Umno

Setelah Haji Ahmad Fuad Hassan mengambil alih Bahagian Agama Umno pada 1950, satu Persidangan Ulama Se-Malaya diadakan di Muar, diikuti oleh persidangan kedua di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Ketika PAS hendak ditubuhkan secara rasmi pada 24 November 1951, Pak Ya telah dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Agung PAS dalam sesi pertama ini.

Beliau merupakan ahli PAS generasi terawal dengan nombor keahlian 12. Beliau terus memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Agung PAS sehingga 1960-an. Dalam masa yang sama beliau turut memegang jawatan penting dalam Dewan Ulama PAS Pusat. Beliau juga merupakan tokoh yang paling lama memegang jawatan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah iaitu hampir 20 tahun sehingga 1995. Jawatan tertinggi yang pernah dipegang oleh beliau dalam PAS ialah sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS semenjak 1987.

Di samping itu juga, Pak Ya pernah dua kali dipilih menjadi Adun Sala (1974 dan 1978), iaitu kawasan yang kemudian diwakili oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak. Kerena ketinggian ilmunya juga, Pak Ya dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Agama Islam Kedah, Ahli Majlis Fatwa Kedah dan Ahli Jawatankuasa Zakat Kedah.

Beliau berkhidmat dalam Jawatankuasa Zakat selama 40 tahun, manakala khidmatnya dalam Majlis Fatwa berakhir pada 1985 setelah beliau berkeras dengan pendirian bahawa mangsa peristiwa Memali adalah syahid, sedangkan Majlis Fatwa yang dikuasai Umno berpandangan sebaliknya.

Kerana jasanya yang luas ini, Pak Ya pernah dinobatkan sebagai Tokoh Jasamu Dikenang sempena Sambutan Jubli Emas PAS Peringkat Negeri Kedah pada Julai 2001.

Ketika PAS sedang sibuk bersiap menyambut ulang tahun ke-50 pada 23 Ogos 2001, pengasas PAS itu telah dijemput menemui Allah pada 6 Ogos 2001. Jenazahnya diimamkan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. Beliau meninggalkan jasa yang besar kepada perjuangan Islam di negara ini, termasuk madrasahnya.

Di kalangan keluarganya, antara yang terkenal ialah anaknya, Mohd Najib Fahmi, bekas AJK Dewan Pemuda PAS Pusat serta dua menantunya, Ustaz Azhari Abdul Razak, bekas Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Aris Awang, bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kedah.- tajdid_

1 comment: